Wednesday, 7 May 2014

Siri 2, Wahai Bapa Agamaku-Nabi Ibrahim AS


Sebagai seorang Nabi utusan Allah, Nabi Ibrahim bertungkus lumus menyampaikan risalah Allah kepada bangsa-bangsa Arab dan seluruh umat manusia.Beliau mengembara ke seluruh pelusuk padang pasir yang amat luas bagi menemui rombongan-rombongan dan khafilah-khafilah manusia. 


Untuk menyeru dan mengajak manusia menyembah Tuhan yang Maha Esa.Inilah tugas yang amat berat yang dipikul dipundak baginda Nabi Ibrahim sebagai utusan Allah yang sah di sisi Allah dan agama.



Ketika baginda Nabi Ibrahim sibuk berdakwah maka Allah SWT telah menurunkan wahyu memerintahkan baginda mendirikan rumah Allah (Baitullahil Haram) iaitu (Kaabah) berhampiran dengan telaga Zam-zam.Tugas suci ini diwahyukan mesti dibangunkan bersama anaknya Nabi Ismail.


Justeru itu bergegaslah Nabi Ibrahim menuju Mekah , bertemu anak kesayangannya Nabi Ismail seraya berkata " Wahai anakku !!... Ismail, Allah telah memerintahkan kepadaku (ayahmu), untuk mendirikan sebuah rumah di atas dataran yang tinggi itu, berhampiran dengan telaga Zam-zam".


Mendengarkan hal itu Nabi Ismail akur sahaja dengan perintah Allah itu. Maka mereka berdua telah melaksanakan perintah Allah tersebut.
Akhirnya mereka terus menjalankan tugas-tugas pembinaan Rumah Allah dengan memulakan tugas mendatarkan tanah-tanah, mengangkut, mengumpulkan pasir-pasir seterusnya sedikit demi sedikit mendirikan tiang dan benteng Kaabah.




Dalam masa membina Kaabah Nabi Ibrahim memanjatkan doanya ke Hadrat Allah Taala yang membawa maksud, "Wahai Tuhan kami, Ya Allah...terimalah persembahan kami. Engkau yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.Wahai Tuhan jadikanlah kami muslimin untuk Engkau.Begitu pula anak dan keturunan kami semua menjadi umat Islam.Tunjukkanlah kepada kami akan cara peribadatan kami , berilah ampun terhadap kami, kerana Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih". Al-Baqarah ayat : 128


Tempat munajat doa Nabi Ibrahim ini dinamakan Maqam Nabi Ibrahim.Disunatkan sesiapa yang berada depan Kaabah shalat 2 rakaat di kawasan ini dan berdoalah kerana doa di kawasan Maqam Ibrahim ini makbul.


Setelah pembinaan Kaabah hampir siap, waktu itulah Allah telah menghantar seketul batu hitam dari syurga.Batu yang luarbiasa keadaaannya. Berwarna hitam (asalnya berwarna putih) serta berkilat dan wangi tersendiri.


Batu hitam itu dikucup beberapa kali oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kerana terlalu gembira dengan kurniaan Allah itu. Batu yang luarbiasa itu dikelilingi Kaabah dan akhirnya diletakkan di sudut penjuru Kaabah yang hingga hari ini dinamakan ianya Hajar Aswad.




Setelah selesai Baitullah dibina maka Allah mengajarkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bagaimana untuk mengerjakan ibadah haji atau cara penyembahan terhdap Allah SWT. 


Dengan cara peribadatan yang tepat menurut kehendak Allah,maka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunjuk ajarkan kepada seluruh para Nabi dan para Rasul yang kemudiannya sehinggalah ibadah haji ini sampai kepada Nabi terakhir dan penentu segala Nabi dan Rasul yakni Nabi Muhammad SAW.Nabi dan Rasul yang datang kemudiannya hanya tinggal meneruskan sahaja apa yang di tinggalkan oleh ajaran Nabi Ibrahim AS.

Akhirnya Nabi Ibrahim berdoa lagi kepada Allah, "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan anak keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan manusia. Disekitar Rumah Engkau yang suci ini (Baitullah@Kaabah).

Ya Tuhan ! Agar mereka mendirikan sembahyang . 
Jadikanlah tempat ini sebagai tempat bertawaf,iktikaf,rukuk dan sujud. Jadikanlah hati manusia tertarik dan simpati terhadap mereka. Berikanlah rezeki kepada mereka dari buah-buahan. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur. Wahai Tuhan!!.... bangkitkanlah!!... Seorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah, serta yang akan membersihkan mereka, kerana sesungguhnya Engkau Maha Gagah lagi Maha Bijaksana".

Maka berbondong-bondonglah manusia mengerjakan haji di bulan haji dan umrah di waktu-waktu yang bukan musim haji. Rasa kecintaan seorang hamba pada khaliqnya tercurah di sini. 




Seluruh dunia umat Islam berdatangan mengerjakan haji dan umrah. Maka tawaf di Kaabah@Baitul Atiq@Baitul Makmur iaitu rumah Allah yang sentiasa dikunjungi manusia seluruh alam ini. Hingga ke hari ini Makkatul Mukarramah tetap meriah dan tetap ceria serta dikunjungi oleh seluruh umat Islam dari mana sahaja penjuru dunia. 

Semoga ada rezeki kami untuk kesekiankalinya mengunjungi Rumah Allah (Kaabah) ini pada tahun-tahun akan datang .
Amin Ya Allah.


No comments:

Post a Comment