Friday, 11 April 2014

Imam Mahdi







Penyelamat Ummah- PASTI akan muncul-Di akhir Zaman.
Kemunculan Imam Mahdi Al-Muntazar (Pemimpin yang ditunjuk (Tuhan), yang ditunggu-tunggu) akan menjelang sebelum berlakunya kiamat.

Akhir zaman nanti sejarah kegemilangan Islam akan berulang sekali lagi dengan megahnya. Sejarah Islam akan bangkit buat kali kedua bukan ciptaan manusia, bukan angan-angan Mat Jenin, bukan cerita dongeng yang diada-adakan, namun ianya adalah Janji Allah yang benar dan PASTI akan berlaku jua akhirnya. 

Sabda Nabi SAW, "Sekiranya dunia ini akan hancur akan tetapi ada tinggal sehari lagi, maka Allah akan bangkitkan seorang dari keluargaku yang akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana dunia ini sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman". Riwayat Abu Daud
Allah yang mentaqdirkan ianya terjadi, tiada siapa pun yang tahu, bila ia akan zahir. 

Hanya Allah sahajalah Tuhan yang Maha Mengetahui akan hakikat sebenarnya akan kemunculan Imam Mahdi ke muka bumi ini untuk memenuhi bumi ini penuh dengan keadilan, kemakmuran dan keamanan yang melimpah ruah.

Telah bersabda Rasulullah SAW yang membawa maksud:- "Pada akhir zaman akan muncul seorang khalifah yang berasal dari umatku yang akan melimpahkan harta kekayaan selimpah-limpahnya dan ia sama sekali tidak akan menghitung-hitungnya". HR Muslim dan Ahmad.
Dalam ajaran Islam Imam Mahdi ialah "pemimpin yang telah diberi petunjuk" Al Mahdi ialah seorang muslim berusia muda yang dipilih oleh Allah. 

Kehadirannya untuk menghancurkan semua kezaliman dan menegakkan keadilan di muka bumi sebelum datangnya hari kiamat.

Hal ini dijelaskan dalam hadis nabi .Telah bersabda nabi SAW yang membawa maksud:- "Sungguh bumi ini akan dipenuhi oleh kezaliman.

Apa bila kezaliman telah penuh ,maka Allah akan mengutuskan seorang laki-laki yang berasal dari umatku, namanya seperti namaku, dan nama bapanya seperti nama bapaku (Muhammad bin Abdullah). 

Maka ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kemakmuran Sebagaimana bumi telah dipenuhi sebelum itu oleh kezaliman . 

Di waktu itu langit tidak akan menahan setitis pun dari titisan airnya dan bumi pun tidak akan menahan sedikit pun dari tanam-tanamannya. 

Maka ia akan hidup bersama kamu selama 7 tahun atau 8 tahun atau 9 tahun" HR At-Tabrani
Kita sebagai Umat Islam yang beriman kepada Allah, Rasul, kitab (Al Quran), hari kiamat, perkara-perkara ghaib dan pada para Malaikat sekaliannya, maka hendaklah kita menyakini bahawa kedatangan seorang pemuda dari Bani Quraisy (Imam Mahdi) adalah benar dan pasti. 

Ia adalah keturunan Baginda Rasul sebelah Sayyidina Hasan atau Sayyidina Husin cucu Baginda Rasulullah SAW.

Kedatangan Imam Mahdi sewajarnya ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam dan umat manusia seluruh dunia kerana kedatangannya akan membawa rahmat , membawa berkat dan mempunyai karamah yang sangat hebat.

Imam Mahdi akan muncul selaku Khalifah Baginda Rasul yang Allah pilih sejak azali lagi.Kedatangannya bukan kehendaknya akan tetapi kehendak Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. 

Kedatangannya membawa syariat Nabi Muhammad SAW bukanlah membawa syariat baru kerana telah sempurna agama Islam ditangan Baginda Rasul setelah lengkapnya Wahyu dari Allah.

Ciri-ciri Imam Mahadi

Sabda Nabi maksudnya "Al mahdi berasal dari umatku berkening lebar, berhidung panjang dan mancung.Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kemakmuran, sebagaimana bumi ini sebelum itu dipenuhi oleh kezaliman dan menjadi khalifah selama 7 tahun" HR Abu Daud dan Al Hakim. 

Kepimpinan Imam Mahadi Dalam hadis banyak mengatakan Imam Mahadi memerintah selama 7 tahun lamanya. Selama kepimpinannya Imam Mahdi akan membawa kaum muslimin memerangi kezaliman dan kemungkaran. Hingga satu persatu kezaliman tumbang dan tumpas. Akhirnya semua tunduk di bawah pemerintahan Imam Mahdi.

Imam Mahdi datang untuk menjalankan amanah dari Tuhan dan Nabi Muhammad SAW, untuk menyatukan kembali umat Islam yang telah berpecah belah dan menyelamatkan umat Islam dari kejahatan, kezaliman Yahudi, Israel,Nasrani dan musuh-musuh Allah .

Imam Mahdi sebagai penyelamat Ummah akhir zaman. Kedatangannya akan membunuh musuh-musuh Allah dengan mengajak para pengikutnya memerangi musuh Allah sehinggalah kemenangan demi kemenangan diperolehinya. 

Sehinggakan raja kezaliman sangat marah (Dajjal), justeru itu Dajjal yang mengaku dirinya adalah Tuhan, berusaha untuk keluar dari tempat persembunyiannya dan berusaha membunuh Imam Mahdi serta pengikut-pengikutnya.

Kekuatan Dajjal sangat kuat dengan izin Allah jua, Fitnah Dajjal waktu itu memenuhi bumi dengan sihirnya. Maka Allah turunkan Nabi Isa dari langit yang akan membunuh Dajjal. 

Imam Mahadi dan Nabi Isa akan bersama-sama berganding bahu, bergabung tenaga bersama-sama memerangi Dajjal Laknatullah serta kuncu-kuncu Dajjal. Hinggalah Dajjal akhirnya mati ditombak oleh Nabi Isa AS di pintu LOD dalam Kompleks Al-Aqsa.

Marilah kita berdoa semuga kita juga sekalian zuriat dan kaum keluarga kita semua selamat dari menjadi penentang kepada Imam Mahdi.

Semoga kita semua diizinkan Allah menjadi pengikut-pengikut Imam Mahadi dan Nabi Isa AS sekali gus terselamatlah kita dari Fitnah Dajjal Laknatullah . 


Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment