Tuesday, 28 July 2015

Ath-Thaahirah - Gelaranmu Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid






Engkaulah Wanita Teladan-Sepanjang Zaman. Engkaulah wanita yang paling mulia dunia akhirat. Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid lahir di Mekah pada tahun 63 sebelum Hijriah.
Ayahmu Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab (datuk Baginda Rasulullah Saw), Maknanya nasabmu bertemu dengan nasab Baginda Rasulullah SAW.

Engkau seorang wanita yang sangat cerdik, cerdas dan dikagumi kaum Quraisy kerana budi pekerti mu yang sungguh menakjubkan. Sejarah mencatatkan kaum Quraisy menganggap dirimu Ratu Quraisy atau Ratu Mekah kerana kekayaanmu dan perniagaanmu sampai ke negeri Syam. Modal perdagangan atau perniagaan besar hingga mengkagumkan penduduk Mekah.

Terlalu ramai jejaka terhormat dari kalangan bangsawan Mekah ingin meminangmu wahai Sayyidatina Khadijah , namun semuanya engkau tolak dengan baik.


Suatu hari Maisarah seorang pekerjamu telah pergi berdagang ke Syam bersama Nabi Muhammad, pesananmu kepada Maisarah, kamu harus ikut dan taat apa sahaja yang datangnya dari Muhammad.

Sekembalinya dari Syam, Maisarah menceritakan kepadamu bahawa perdagangan di Syam bersama Nabi Muhammmad sangat maju dan untungnya sangat banyak. Kejujuran, amanah dan ketelusan Nabi Muhammad sangat memikat hatimu.

Wahai Sayyidina Khadijah Al-Kubra , harum namamu dalam sejarah Islam , harum juga namamu sebagai pendamping Baginda Rasul yang sangat disayangi Baginda juga sejarahmu tetap gemilang dan dikenang sepanjang hayat umat manusia di dunia ini .

Sehinggakan Baginda Rasul pernah bersabda , "Demi Allah, Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku disaat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfaqkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain". (HR Ahmad).

Engkau sumber inspirasi Baginda Rasul juga sebagai tempat meniup semangat juang Baginda Nabi akhir zaman.Namamu harum bukan saja pada wajahmu yang cantik, rupawan, jelita namun harum pada akhlak dan keperibadianmu yang sangat luhur dan suci murni itu.

Dikau adalah wanita pertama yang beriman pada Allah dan Rasul, dari keturunan terhurmat dan bangsawan Quraisy. Harum semerbak mewangi namamu dunia akhirat.

Dirimu mempunyai semangat yang tinggi, ketajaman daya fikirmu amat diakui oleh sejarah ,walaupun dirimu seorang janda sebelum mengahwini Nabi, namun dirimu sangat menjaga kehormatan dan maruah diri sehinggakan engkau digelar Ath-Thaahirah (Wanita yang suci).

Seorang ahli perniagaan yang banyak harta. Kaya dan sangat ada karisma dan prinsip hidup.Saat Baginda berumur 25 tahun, dirimu dalam usia 40 tahun. Ketika inilah dirimu memohon agar Baginda Rasul meminangmu dan sekaligus memperisterikanmu.

Akhlak Baginda Rasul yang amanah, jujur, bijaksana, taat dan seribu kepujian lagi yang ada pada Baginda Rasul telah menggamit hatimu untuk berkahwin dengan Baginda Rasul sebagai suamimu dunia akhirat.

Dengan disaksikan oleh bapa saudara Baginda Rasulullah( Abu Talib dan Hamzah bin Abdul Mutalib) melamarmu dengan mahar 20 ekor unta muda.

Pada tahun 595 Masihi telah sahlah mereka suami isteri di sisi Allah dan agama. Perbezaan usia dan harta antara dirimu dan Nabi tidak menjadi masalah kerana cinta yang tulus antara sesamamu sangat hebat dan juga pengabdianmu dan Baginda Rasul kepada Allah SWT yang sungguh mendalam.

Hasil pernikahan ini dirimu berdua dianugerahi 6 orang anak.2 lelaki ( Al-Qasim, Abdullah) dan 4 perempuan (Zainab,Ruqayyah,Ummu Kalsum dan Fatimah Az-Zahra').
Cita-cita murnimu itu telah ditunaikan maka berlakulah percantuman hati antara dua jiwa yang mulia ini di sisi Allah SWT. 


Setelah menjadi isteri kepada Utusan Allah, dikau wahai Sayyidatina Khadijah merupakan manusia pertama yang shalat di belakang Nabi SAW bersama Sayyidina Ali KWJ.

Segala hartamu diinfaqkan untuk Islam.Bahkan hambamu Zaid bin Haritsah pun diserahkan kepada Baginda Rasul, terus Baginda menerima Zaid sebagai anak angkatnya.

Kemuliaan Zaid juga termasuk orang yang paling dekat dengan Baginda Rasul dan merupakan salah seorang yang berada di saf pertama waktu shalat di belakang Nabi.

Dirimu sangat setia dan sangat menjadi pendorong utama kepada Baginda dalam menyampaikan dakwah Islam juga menjadi pembakar semangat di waktu Baginda diuji dan teruji.
Engkau Wahai Sayyidatina Khadijah tidak pernah berputus asa bahkan bersemangat waja dalam berdakwah memperkenalkan Tuhan dan utusan Allah di tengah-tengah masyarakat kaum Quraisy.


Sayyidatina Khadijah ini seringkali memberi pembelaan terhadap suaminya (Rasulullah) dalam apa jua keadaan sekalipun.Dikau sentiasa berada di samping suamimu, (Utusan Allah)itu.

Begitu mulianya Sayyidatina Khadijah sehinggakan Malaikat Jibril mendatangi Baginda Rasul sambil berkata"Wahai Rasulullah ...ini dia Khadijah.Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman.Bila ia datang kepadamu,sampaikanlah salam padanya dari Rabnya(Tuhannya) dan dariku(Jibril) dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumahnya di dalam syurga dibuat dari mutiara, emas dan perak,yang tidak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan".

Sayyidatina Khadijah terus menjawab salam itu dengan katanya "Allah Maha Penyelamat daripadaNya keselamatan dan kepadaNya pula kembali keselamatan, semuga keselamatan atas Malaikat Jibril".
HR Shahih Bukhari.



Pada tahun 616 Masihi kaum Muslimin telah diboikot kaum kafir Quraisy kerana marah sangat kepada Baginda Rasulullah dan kaum Muslimin kerana berdakwah , boikot ini berlangsung selama 3 tahun.

 Sayyidatina Khadijah jatuh sakit , setelah pemboikotan dihentikan.Maka Sayyidatina Khadijah meninggal dunia setelah berumur 65 tahun. Inilah tahun yang paling menyedihkan Nabi SAW.Tahun itu dinamakan (Tahun Kesedihan).

Sayyidatina Khadijah dimaqamkan di Kompleks Pemaqaman Ma'la di Mekah.Ia dimaqamkan bersebelahan dengan maqam anaknya Abul Qasim.

Begitulah sejarah memaparkan kepada kita wanita contoh suri tauladan ini untuk dicontohi. Hatinya penuh mendalam beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW. Sangat berkorban untuk Islam dan sangat setia pada suaminya. 
Wanita syurga yang sangat Allah muliakan. 

Semoga ada rezeki kita untuk bersamanya di dalam syurga Allah nanti. Al Fatehah buatmu wahai wanita idola ummah .

Amin Ya Rabbal A'alamin

SIAPAKAH DIA AL-HUMARA' SI MERAH JAMBU?.




Dirimu adalah puteri jelita Abu Quhafah(Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq) dan ibumu Ummu Rumman yang Baginda Rasul pernah bersabda:- "Barangsiapa yang hendak melihat bidadari yang cantik,pandanglah Ummu Rumman"

Ibumu seorang penghuni syurga dan juga seorang wanita yang cerdik dan berjiwa besar serta dari keturunan bangsawan Quraisy. Kecerdikan ibu dan ayahmu telah diwarisi oleh mu wahai Sayyidatina Sayyidatina Aisyah.

Watakmu seorang yang berani , lincah, aktif,tegas tapi lunak , tangkas,zuhud, kuat ibadah, fasih berbicara,sangat bijak dan bernas dalam mengeluarkan pendapat dan pandangan.
Dirimu salah seorang yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Baginda Rasulullah SAW. Seorang wanita yang sangat kuat ingatan dan sangat jujur orangnya.

Keistemewaanmu wahai Sayyidatina Aisyah (Ummul mukminin) sangat diakui oleh Allah, melalui perutusan wahyu yang dikhabarkan oleh Malaikat Jibril bahawa dirimu wahai Sayyidatina Aisyah RA, adalah isteri Baginda Rasul dunia akhirat.

Kecerdasan mu dan kekuatan akalmu dalam menghafal Al-Quran dan hadis-hadis Nabi, serta kefahaman yang amat tinggi terhadap selok belok hukum hakam Islam, atas dasar inilah Baginda Rasulullah menyuruh para sahabat dan umat Islam lainnya mengambil pelajaran daripada isterinya, Sayyidatina Aisyah RA , melalui sabda baginda yang bermaksud:- "Ambillah sebahagian agamamu dari Humaira' ini...".



Pesan Baginda Rasulullah ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak salah ingin menuntut atau menimba ilmu dengan seorang wanita yang diakui akan ketajaman ilmu dan mindanya.Bahkan Nabi pun membenarkannya dan bersetuju akan hal ini. Engkau adalah penghuni syurga. 

Allah sangat memuliakanmu dan penuh penghormatan ke atasmu. Engkau adalah isteri Nabi yang paling menghiburkan Baginda Rasul dan isteri Nabi yang paling faham tugas dan peranan seorang Nabi. Engkau adalah sumber inspirasi bagi seorang suami yang bergelar seorang Nabi.

Dirimu dilahirkan 11 atau 12 tahun sebelum Hijrah. Atau ada yang mengatakan kelahiranmu 1 atau 4 tahun sesudah Nabi diutus menjadi Rasulullah SAW.Dikau menjadi isteri Nabi ketika usia 9 tahun lebih (belum genap 10 tahun).

Kulitmu kemerah-merahan dan digelar oleh Baginda Rasul (Humaira' yakni warna merah jambu). Tubuhmu langsing, ramping dan tinggi.Dirimu memeluk Islam sewaktu kecil lagi, ada ahli sejarah mengatakan dirimu masuk Islam sewaktu umat Islam baru 18 orang ketika itu. 

2 tahun selepas wafatnya Sayyidatina siti Khadijah Al-Kubra, turunlah wahyu kepada Baginda Rasul untuk menikahi dirimu.Begitu sekali Tuhan memilihmu sebagai pendamping kepada kekasihNya .

Suatu hari sebelum Nabi menikahimu Nabi berkata kepadamu dengan disaksikan oleh ibu ayahmu , "aku (Rasulullah) melihatmu (Sayyidatina Aisyah RA) dalam tidurku 3 malam berturut2, Malaikat mendatangiku dengan membawa gambarmu pada selembar sutra seraya berkata "ini adalah isterimu". Ketika aku membuka tabir itu maka nampaklah aku akan wajahmu. Kemudian aku berkata kepadanya (Malaikat) "jika ini benar dari Allah, nescaya akan terlaksana".

Mendengar akan khabar busyra ini gembiralah hati S.Abu Bakar As-Siddiq, isterinya juga dirimu wahai Aisyah RA, lalu berlakulah pertunangan antara Nabi dan dirimu wahai ummul mukminin . Setelah berlangsungnya pertunangan itu maka Nabi terus berhijrah ke Madinah beserta para sahabat.

Setelah baginda menetap di Madinah, baginda mengutuskan wakilnya menjemputmu untuk datang ke Madinah. Lalu dinikahinya dirimu sebagaimana yang Allah mahu dengan mas kahwin 500 dirham.

Baginda Rasulullah sangat menyayangimu kerana terlalu banyak keistemewaannya, sehinggakan dalam bilik Sayyidatina Aisyah yang berdampingan dengan Masjid Nabawi banyak kali turunnya wahyu. Keistemewaan ini tidak berlaku kepada mana-mana para isteri Nabi yang lain.

Di dalam hadis dikatakan "cinta pertama yang terjadi di dalam Islam adalah cintanya Baginda Nabi SAW kepada Sayyidatina Aisyah RA". HR Anas bin Malik.

Satu hari ada seseorang menghina Sayyidatina Aisyah didepan Ammar bin Yasir sehingga Ammar beri teguran dan amaran kepada orang itu "sesungguhnya celaka kamu!!...kamu telah menyakiti hati isteri kecintaan Nabi SAW". (H.R. At-Tirmidzi).

Ketika Sayyidatina Aisyah RA wafat , Ummu Salamah berkata "Demi Allah SWT , dia (Sayyidatina Aisyah) adalah manusia yang paling Rasulullah SAW, cintai selain ayahnya Sayyidina Abu Bakar RA".

Saudah bin zuma'ah antara isteri Nabi yang paling faham keutamaan-keutamaan Nabi dan Sayyidatina Aisyah,.beliau banyak merelakan giliran malamnya bersama Nabi dihadiahkan kepada Sayyidatina Aisyah RA,yang penting pada Sayyidatina Saudah biarlah dia terus menjadi isteri Nabi hingga akhir hayatnya.

Baginda Rasulullah SAW, wafat di pangkuanmu wahai sayyidatina Aisyah. Itulah antara kelebihan dan keistemewaanmu wahai Ummul Mukminin. Sewaktu Nabi sakit , dirimulah yang merawat dan menjaga Nabi hingga Nabi menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas ribaanmu.

Dalam kamarmu Baginda sakit dan di kamarmu jugalah baginda wafat bahkan di kamarmulah Baginda Rasul dimaqam kan.
Suatu hari Ummul Mukminin tertidur dalam tidurnya ia nampak tiga buah bulan jatuh ke kamarnya. 

Ketika ia mengkhabarkan hal ini kepada Sayyidina Abu Bakar, maka Sayyidina Abu Bakar berkata " jika yang engkau lihat itu benar, maka di rumahmu (di kamarmu) akan dikuburkan lagi 3 orang yang paling mulia di muka bumi ini.

Ketika Rasulullah SAW, wafat , Sayyidina Abu Bakar berkata" beliau(Rasulullah) adalah orang yang paling mulia antara 3 bulan itu".ternyata Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar Al-Faruq di maqamkan dikamar Ummulmukminin ini, bersebelahan dengan maqam Baginda Rasul.

Setelah wafatnya Baginda Rasul, ujian berat dilalui oleh Ummul Mukminin ini kerana fitnah terlalu besar terhadapnya. Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah sangat redha dengan ketentuan Allah ini, beliau hadapi tohmahan dan ujian ini dengan hati yang sabar dan tenang sekali. Dirimu banyak berdiam diri di dalam rumah dan sangat taat kepada Allah.

Rumah atau kamar Sayyidatina Aisyah sentiasa dikunjungi para sahabat dan umat Islam dari segala penjuru.

Tujuannya ialah:- 
1. Untuk menziarahi maqam. Nabi. 
 2. Untuk menimba ilmu . 

Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah RA adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW. Wahyu pun banyak turun waktu ia sebilik dengan Rasulullah SAW. Ia memperolehi ilmu langsung dari Baginda Rasulullah SAW..

Wanita yang paling banyak menghafal hadis-hadis Nabi,sehinggakan para ahli hadis menempatkannya(S.Aisyah) pada urutan ke5 dari para penghafal hadis. Setelah Abu Hurairah, Ibnu Umar, Anas bin Malik, dan Ibnu Abbas.

Sayyidaitina Aisyah hidupnya penuh dengan jihad di jalan Allah. Kuat ibadahmu dan sangat zuhud kehidupanmu. Wafat pada usia 66 tahun, bertepatan bulan Ramadhan tahun ke 58 H.Dimaqamkan di tanah perkuburan Baqi.

Al-Fatehah buatmu ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul yakni Sayyidatina Aisyah RA. 

Semoga dengan berkat menyebut-yebut namamu dan membaca sejarahmu wahai Sayyidatina Aisyah ,bertambahlah kasih, cinta kami kepadamu.Justeru itu layaklah kami untuk memperolehi kasih sayang Baginda Rasul dengan menyintai orang yang Nabi cintai. 

Amin Ya Allah.

Raudhatul Jannah-Taman/kebun syurga




Raudhah Oh Raudhah. Sungguh setia engkau menemani maqam Nabi, yang jasad Baginda sesungguhnya tidak hancur dan tidak reput ditelan zaman. Sesungguhnya roh Baginda itu hidup di sisi Tuhannya.

Wanginya maqam Nabi bergabung dengan harumanmu Raudhah, oh wangi semerbak,wangi haruman kasturi yang kekal hinggalah ke hari kiamat.Jasa pengorbananmu wahai Raudhah Oh Raudhah, amat mencuit hati sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Raudhah Oh Raudhah. Bertuahnya dikau, Allah pilih berada di sisi Nabi. Keberadaanmu di sisi maqam Nabi ternyata ianya menjadi penyeri pada maqam Nabi dan maqam 2 sahabat yang sangat dicintai Allah dan Rasulnya. Kesetiaanmu menjadi peneman kepada maqam Nabi,sangat dibanggakan Allah dan Rasulullah juga seluruh umat Islam sedunia.

Kemuliaanmu wahai Raudhatul Jannah (Taman atau kebun syurga) Dikhabarkan Baginda Rasul,dari Abi Said Al-Khudri Sabda Nabi, "Tempat di antara maqamku dan mimbarku ini adalah Raudhah (kebun) di antara beberapa kebun syurga"
Raudhah tempatnya bersebelahan dengan Masjid Nabawi. 

Antara rumah Nabi dengan mimbar. Raudhah sangat istemewa kerana setiap doa yang dipanjatkan di sini akan dimakbulkan Allah.Doa mustajab dan tidak ditolak oleh Allah Taala.

Berada dalam kawasan Raudhah hati lapang, tenang,kerana secara automatik suasananya sangat meleraikan segala kekusutan, kebuntuan, tekanan jiwa serta suasananya amat nyaman menusuk ke jantung kalbu. Oh indahnya berada di sisimu wahai Raudhah Oh Raudhah.

Haruman bau-bauanmu bergabung dengan bau-bauan yang mewangi Baginda Rasulullah dan maqam Nabi sangat memberi ketenangan yang sungguh mendalam pada hati dan perasaan sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Ibadah di dalamnya sangat menghadirkan rasa khusyuk yang mencengkam di sanubari. Hati bagaikan disiat-siat, dicarik-carik, dirobek-robek,diremokredamkan, dihancurluluhkan, dipecah-pecahkan ,rasa sayu,rasa pilu dan bermacam-macam rasa apabila mengenangkan baginda Rasul yang sangat berkorban untuk agama Allah dan untuk umatnya.

Terbayang di ruangan mata hati, betapa baiknya Allah mengutuskan seorang Nabi yang sangat mencintai, menyayangi,mengasihi umatnya, juga terbayang di ruangan hati betapa Rasulullah sanggup bermati-matian untuk membawa kebenaran dari Allah, demi mengajak umatnya beriman kepada Allah dan Rasulnya.

Tempat Raudhah tidak pernah sepi, tempat yang paling afdhal memanjat doa dan memohon hajat di hati. Apa sahaja hajat dimohon di Raudhah insyaAllah semuanya Allah yang Maha Mendengar akan mendengariNya dan akan dikabulkan doa-doa munajat tersebut.




Barangsiapa yang tidak tertunai hajatnya, kunjungilah Raudhah dan berdoalah di dalamnya dengan sepenuh hati.InsyaAllah doa akan dikabulkan Tuhan.

Raudhah adalah taman syurga, di mana ianya sebagai tempat Allah menurunkan rahmat dan kasih sayangNya . Kawasan karpet hijau.(Kawasan raudhah). Adalah kawasan yang Rasulullah amat cintai.

Raudhah merupakan tempat Rasulullah beribadah sepanjang malam dan sepanjang umur hidupnya. Tempat Baginda memimpin shalat bersama para sahabat dan umat Islam, tempat Baginda menerima wahyu. Juga menerima titah perintah dari Allah melalui Malaikat Jibril sebagai utusan Allah.

Sabda Rasulullah SAW, "Antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga" H.R Al Bukhari dan Muslim.

Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam Nawawi mengatakan bahawa di situlah tempat seharusnya diperbanyakkan doa, kerana doa sangat Mustajab.

Maqam Rasulullah disebuah kawasan kubah hijau dalam kawasan Raudhah. Terdapat juga maqam Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Sayyidina Umar Al-Khattab.

Mereka berdua adalah orang yang sentiasa menemani Rasulullah sedari hidupnya hinggalah wafatnya Baginda Rasul. Suka duka bersama, susah senang bersama, senyum tawa, menangis pun bersama. Begitulah betapa setianya para sahabat kepada Baginda Rasul tercinta.

Nabi bersabda, "Di antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah.(Taman) antara taman-taman syurga.dan mimbarku berada pada telagaku (di syurga)". H.R bukhari.


Begitu istemewanya Raudhah yang sentiasa menemani Nabi dan 2 para sahabat yang Nabi cintai. Berada di dalamnya (Raudhah) amat terasa akan betapa dekatnya hubungan hati dengan Baginda Rasul juga para sahabatnya.

Berpusu-pusu, berbondong-bondong umat Islam mengambil keberkatan untuk memijakkan kaki ke Raudhah, di kawasan karpet hijau di dalam Masjid Nabawi. Shalat di dalamnya sangat memberi 1001 rasa yang sukar untuk dilafazkan oleh bahasa mulut , kerana bahasa hati sahajalah yang mampu mengungkapkan betapa terharunya, sebaknya, sayunya, pilunya, hibanya hati ini ketika berada di Raudhah dan kawasan sekitarnya.

Umat manusia setiap hari memenuhi ruangan berkat dan istimewanya ini. Tidak pernah lengang dari dikunjungi oleh umat Islam seluruh dunia.

Semoga berbahagialah sesiapa sahaja yang direzekikan dan diberi peluang oleh Allah Taala untuk melepaskan rindu di hati kepada kekasih Allah dengan memijakkan kaki di Raudhah dan maqam Nabi dalam Masjid Nabawi.

Semoga Raudhah, maqam Nabi, Maqam 2 sahabat karib Baginda Rasul, Kubah Hijau, masjid Nabawi menjadi saksi di akhirat kelak di hadapan Allah bahawa kita semua pernah memuliakan tempat yang sungguh istemewa dan bersejarah itu.

Semoga dengan berkat mengunjunginya kita juga akan memperolehi pandangan rahmat dan kasih sayang dari Allah seumur hidup kita. 

Semoga kita juga direzekikan layak untuk mendapat syafaa'atul kubra dari Baginda Rasul di hari perhitungan nanti. Jesteru itu terselamatkan kita dari terjun ke dalam neraka Allah yang amat dahsyat dan mengerikan itu. 

Wahai Raudhah Oh Raudhah. Rindunya diriku untuk memijakkan kakiku ke Raudhahmu buat kesekian kalinya. Semoga diizinkan Allah suatu masa nanti kita bertemu lagi.
Amin Ya Allah.

Pedang Allah-Khalid Ibn Walid R.A




Nama sebenarmu ialah Khalid bin Al-Walid bin Al-Mughirah, dilahirkan di Mekah.Ayahmu Walid bin Al-Mughirah (ketua Bani Makhzum).

Adalah sebuah suku daripada suku bangsa Quraisy. Dirimu berbadan tegap, berbahu lebar,berjanggut tebal, berhati dan watak ketenteraan,seorang juara gusti , suka main tombak,lembing, busur dan pedang.Penunggang kuda yang sangat handal.
 
Dalam pertempuran Mu'tah Panglima Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim, dengan pasukan tentera Islam seramai 3,000 orang mampu mengalahkan Empayar Byzantine(Rom) yang seramai 200,000 tentera.

Selain dari pertempuran Mu'tah banyak lagi pertempuran yang engkau terlibat .

Antara ratusan peperangan yang engkau ikuti ialah pertempuran Hunain, pengepungan Taif, menyertai kempen Tabuk. Perang Yamamah, perang Yarmuk dan lain-lain lagi peperangan.

Engkau adalah antara panglima Islam yang memainkan peranan penting mengepalai peperangan antara tentera Islam dengan tentera Rom dan Parsi pada kurun ke 7.

Berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam tempuh 3 tahun sahaja.Ini satu pencapaian yang sungguh ajaib dan luar biasa.

Engkau berbangsa Arab keturunan Quraisy. 
Pernah menentang Nabi dalam perang Uhud, akhirnya memeluk agama Islam dan memohon maaf kepada Nabi atas tindakanmu sebelum ini.
Engkau digelar "SAIFULLAH AL-MASLUL" yakni "PEDANG ALLAH YANG TERHUNUS".


Gelaran ini Baginda Rasul anugerahkan kepadamu kerana dirimu berjaya menyelamatkan tentera-tentera Islam daripada dibunuh musuh. Bahkan Baginda Rasulullah bersabda"Wahai Khalid engkau adalah sebilah pedang dari pedang Allah.

Dalam peperangan Yamamah, Panglima Khalid berteriak dengan kuatnya sambil bertakbir "ALLAHU AKBAR!!...Marilah kita berebut-rebut mencium bau syurga", maka terjadilah peperangan yang amat dahsyat dan hebat. Anak panah bersimpang siur dan mayat bergelimpangan.Ramai tentera Islam syahid dalam perang Yamamah ini.

Engkau adalah sahabat Nabi yang sangat disayangi Nabi.Juga seorang pahlawan Islam yang sangat digeruni musuh-musuh Allah.

Engkau sangat diberi kepercayaan oleh Khalifah Allah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A.dalam mengetuai pasukan tentera muslimin bertahun-tahun lamanya.



Engkau juga diberi amanah untuk memerangi puak Murtad dan engkau juga ditugaskan membunuh Musailamah bin Al- Kazzab yang mengaku Nabi beserta pengikut-pengikutnya.

Terlalu banyak jasa-jasamu untuk Islam.Dikaulah panglima Islam yang sangat berani dan handal.Keberanianmu bagaikan singa atau harimau di medan perang. Siapa sahaja musuh-musuh terjatuh di hadapanmu tidak akan terselamat dari pedangmu.

Wahai Panglima Khalid RA,kagumnya aku dengan keperkasaan dan ketangkasanmu memerangi musuh-musuh Allah dengan pedangmu. Benarlah engkau "SAIFULLAH".
Orangnya sangat kuat hinggakan digelar (Al-Qawiyyul Amin)yang kuat dan amanah.Sangat lasak, tidak tahu rehat,tidur atau baring,sangat kuat semangat dan berhati waja.

Kemampuanmu tidak ada tandingannya, sangat taat, sangat berbaik sangka dengan pemimpin atau khalifah di atasmu. Buktinya engkau dipecat sebagai seorang ketua panglima perang disaat engkau sedang hebat bertarung di medan juang oleh Khalifah Umar Al-Faruq dan digantikan dengan sahabat baikmu Sayyidina Abu Ubaidah Ibn Jarrah,engkau terima perlucutan jawatan ini dengan tenang sekali.

Dengan tenang engkau menyerahkan jawatanmu kepada Sayyidina Ubaidah Ibn Jarrah, tanpa merajuk, tanpa prajudis, tanpa dendam, tanpa sakit hati, tanpa buruk sangka pada Khalifah Umar sedikit pun. Dalam masa yang sama semangat juangmu tetap utuh dan kental.

Walaupun engkau telah dipecat dan dilucutkan jawatan , namun dirimu tetap berjuang dan berperang serta membunuh musuh-musuh Allah seperti biasa.Semangat juangmu tidak luntur dan berganjak walaupun seinci jua.

Engkau tetap membantu tentera Islam menakluk negara-negara dan kuasa-kuasa besar yang gagah, hingga jatuh terjelapak di bawah kekuasaan Islam.

Ikhlas sungguh hatimu dalam menegakkan agama Allah dan menumpaskan musuh Islam, sewaktu dirimu dipecat oleh Sayyidina Umar engkau berkata "aku bukan berjuang kerana Umar tetapi aku berjuang kerana Tuhan kepada Umar".



MasyaAllah...mulianya hatimu,berjuang bukan kerana jawatan tetapi kerana Allah semata-mata. Engkau wahai Sayyidina Khalid, tidak pernah kalah dalam peperangan menentang musuh,engkau sentiasa menang dan terus menang.

Di zaman jahiliah sebelum engkau menyertai pasukan Nabi, engkau berjaya mengalahkan umat Islam dalam peperangan Uhud. Sehingga dikatakan dalam sejarah Islam, lukanya Baginda Nabi dalam peperangan Uhud adalah angkara engkau wahai Panglima Khalid.

Namun demikian engkau telah menebus segalanya itu dengan bermati-matian mempertahankan agama Allah dan menebas musuh-musuh Allah dengan pedangmu.

Satu-satu musuh Allah tersungkur di telapak kakimu, terutamanya dalam perang Mu'tah di mana kedudukan umat Islam hampir-hampir tewas dalam pertempuran Mu'tah, akhirnya engkau mengatur strategi yang hebat akhirnya tentera Islam dapat diselamatkan.

Dalam perang Mu'tah tentera Islam yang sedikit bertembung dengan tentera Rom seramai 200,000 orang memang nyaris-nyaris menerima kekalahan, setelah bendera Islam silih berganti bertukar tangan dari Zaid bin Harithah,Jaafar bin Abu Talib, Abdullah bin Rawahah semuanya syahid, maka bendera Islam disambar oleh Thabit bin Arqam dan terus pantas menyerahkan kepada Panglima Khalid maka automatik Panglima Khalid menjadi komandan perang dan terus mengarahkan tentera Islam berundur ke Madinah kerana tentera Islam sudah terlalu ramai yang gugur syahid dan yang tinggal tidak mampu untuk bertahan lagi.

Waktu zaman jahiliahmu,dirimulah yang menyebabkan umat Islam kalah dengan teruk dalam peperangan Uhud.Di atas kecuaian tentera pemanah dari pasukan tentera muslimin yang tidak mendengar arahan Baginda Nabi,supaya jangan tinggalkan pasukan pemanah dari atas bukit, tetapi pasukan tentera pemanah turun juga dari atas bukit kerana tergoda dengan harta ghanimah . 

Akhirnya engkau dengan tangkasnya mengambil kesempatan di atas kelemahan tentera muslimin, engkau mengepung gunung Uhud dan tentera Islam, maka itulah sejarah yang paling buruk bagi kaum muslimin dalam sejarah peperangan.

Akhirnya setelah engkau meninggalkan alam jahiliah mu dan menjadi orang kuat kepada Baginda Nabi , engkau terus menjadi "Pedang Allah". Tidak sekali pun engkau kalah dalam bertempur melainkan kemenangan demi kemenangan walaupun tentera muslimin bersamamu hanya 10 orang tentera yang beriman yang menjual dunia demi akhiratnya menentang 100,000 orang tentera Rom ,
Akhirnya Tuhan memberi power yang luar biasa serta Izzah kepada Sayyidina Khalid dan 10 orang tentera Islam ini. 

Maka akhirnya mereka dengan bilangan yang amat sedikit mampu menewaskan tentera Rom(musuh) dengan jayanya. Akhirnya engkau (Sayyidina Khalid) tetap kembali dengan seribu kemenangan.

Engkau juga terkenal sebagai pakar jalan, pakar pecut kuda,pakar strategi,pakar segala pakar. Bukti betapa tangkasnya dirimu wahai Sayyidina Khalid,sewaktu hendak perang bermula di Iraq sempat engkau pecut kuda dari Iraq sampai ke Mekah, untuk menunaikan haji.

Bila selesai haji ,engkau berpatah balik ke Iraq untuk berperang, Setengah para sahabat tidak perasan ketiadaanmu seketika. Begitu sekali licitnya dirimu wahai Sayyidina Khalid.

Pernah berlaku dalam sejarah, Tentera Rom sudah mengepung tentera Islam,bila engkau mendapat tahu akan hal ini, engkau memecut kudamu dan pergi ke Syam menyelamatkan tentera Islam tersebut. 

Ternyata usahamu diizinkan Allah.Misi itu berjaya.
Khalifah umar memecatmu (Sayyidina Khalid) kerana ingin menjaga hati umat Islam supaya jangan merasakan perang menang kerana Khalid.Demi menjaga hatimu juga , Sayyidina Umar lakukan ini semua.

Hebatnya engkau wahai Panglima Khalid Ibn Walid, sehinggakan mana-mana Kota yang tentera Islam tidak boleh masuk, engkau (Sayyidina Khalid) mampu dan boleh redah masuk dan terus menawan kota tersebut.

Sehinggakan Sayyidina Umar akhirnya berkata:- "Sayyidina Abu Bakar lebih kenal Khalid dariku".
Engkau wahai Sayyidina Khalid,adalah seorang panglima Islam mati di atas katil, ditempat tidurmu, tidak mati dibunuh musuh.

Persoalannya sekarang, kenapa Sayyidina Khalid tidak mati syahid?
Sedangkan sabda Rasulullah adalah jenazah orang yang mati syahid tidak dimandikan, kerana darahnya akan menjadi saksi dan bersyahadah di hari kiamat.

Habis bagaimana dengan Panglima Khalid, mati atas katil tempat tidurnya bukan mati di medan jihad?
Seorang sahabat menjenguk panglima Khalid seraya panglima Khalid berkata... "Tahukah engkau, ketika Sayyidina Umar menurunkan Jabatanku?pada awalnya aku sangat kecewa tetapi sekarang aku sedar bahawa apa yang Sayyidina Umar lakukan adalah tindakan yang sangat tepat, kerana dia mahukan yang terbaik padaku.dan aku tidak lagi merasa kecewa lagi terhadap Sayyidina Umar.

Hampir saat-saat kewafatanmu , orang-orang yang menziarahimu , engkau menunjukkan tanganmu dan tidak ada sejengkal jarak pun di tanganmu kecuali ada bekas luka,dan apabila engkau menunjukkan tangan kanan kirimu, menunjukkan dada dan kakimu sambil berkata, "lihatlah aku , aku bertempur dalam ratusan peperangan, banyak pertempuran , akan tetapi aku sakarat di tempat tidurku".
Para sahabat menenangkanmu dan menghiburkanmu dengan berkata padamu " Wahai Khalid!!,,, bukankah baginda Rasulullah telah mengelarkanmu pedang Allah?.

Maka tidak mungkin kau gugur dalam pertempuran,kerana jika kau gugur dalam pertempuran, bererti pedangnya Allah telah berhasil dipatahkan oleh orang-orang kafir.

Sedangkan pedangnya Allah tidak boleh dipatahkan atau di kalahkan oleh pihak musuh kerana ini akan menjatuhkan maruah dan kewibawaan pedang Allah yakni "SAIFULLAH".

Begitu sekali betapa Maha Hebat dan Maha Bijaksananya Allah menetapkan kematian Panglima Perang Khalid Ibn Walid R.A, wafatnya di atas katil di tempat tidurnya.Maha suci Allah melakukan ini sia-sia.

Firman Allah yang membawa maksud:- (Janganlah kamu mengira orang yang gugur di jalan Allah itu mati,bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Ali Imran :169
Demi Allah setiap orang yang mati syahid dari umat ini akan bersaksi untuk Panglima Khalid Ibn Walid RA matinya adalah syahid walaupun matinya di tempat tidurnya. 

Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Ketika wafatnya Panglima Khalid di Hims Syria, para wanita dari Bani Makhzum keluar dan menangis. Kata ibu Khalid dalam puisinya setelah wafatnya Khalid, "Kau lebih baik dari jutaan orang.Ketika musuh-musuhmu terjatuh di hadapanmu. kau lebih berani daripada seekor singa atau harimau. Kau lebih dermawan daripada banjir yang mengalir menuruni gunung".
Kata Sayyidina Umar kepada ibu Panglima Khalid," engkau adalah benar. Kata-katamu terhadap Khalid adalah benar". 

Sedangkan ratusan peperangan demi peperangan Panglima Khalid sertainya. Tidak ada 1 inci , 1 jarak pun tubuh badannya dari hujung rambut hingga hujung kuku yang tidak terkena pedang, tombak, anak panah, semuanya tinggal parut dan kesan-kesan luka.

Pada 4 tahun terakhir kehidupanmu, engkau diturunkan pangkat dan tidak dibenarkan lagi ke medan perang. Ini adalah ujian terbesar untukmu wahai Panglima Khalid Ibn Walid. Selama itulah dirimu memenuhi masa lapangmu dengan membaca Al- Quran. Sedari fajar hinggalah ke zohor.

Engkau berkata " jihad telah menghentikan aku dari belajar Al- Quran.Sejak dari hari itu engkau belajar Al- Quran , membaca Al- Quran dan menangis terus menerus kerana takutkan Allah. MasyaAllah.... hebatnya ketaqwaanmu wahai hero penyelamat dan jaguh bagi umat Islam.

Semuga sejarahmu wahai Panglima Khalid Ibn Walid menjadi suri tauladan kepada umat Islam sejagat.

Betapa dirimu sanggup hancur luluh tubuh badanmu demi mempertahankan agama Allah di atas muka bumi ini. 

Dengan memaparkan kisah sejarah silammu , semoga diriku juga mendapat keberkatan dari Allah dunia dan akhirat.
Amin Ya Rabbal A'alamin.

Kasih Ibu membawa ke Syurga



IBU...

Jasamu tetap ku kenang sepanjang hayatku.
Pengorbananmu amat disanjung tinggi.
Dikaulah permata hatiku.  

Siang dan malam engkau terus berdoa kepada Tuhan demi keselamatan anak-anakmu ini.
Apabila mengenangkan jasa-jasamu wahai IBU...



Memang tiada apa yang mampu dibalas melainkan sebuah "DOA" dari anak-anak yang soleh dan solehah.


IBU...

Wajahmu tenang walaupun terpaksa harungi pelbagai ujian kehidupan bersama anak-anakmu.

Dirimu amat rela melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anak-anakmu.




Itulah dia hati seorang insan yang bergelar "IBU".

Balasilah jasa-jasa IBU dengan berkhidmat kepadanya atau dengan menghiburkan hatinya atau dengan memberi kasih sayang yang setulus-tulusnya pada seorang wanita yang bernama "IBU".

Terimakaseh padamu "IBU" kerana dirimulah maka lahirnya aku ke dunia ini....Semuga hidupmu dirahmati Allah dunia dan akhirat buatmu "IBU".




Terimakasih Tuhan atas anugerahMu kurniakan daku seorang "IBU".

Benarlah syurga di bawah telapak kaki IBU. 

Mengenangkan pengorbananmu terlalu hebat terhadap anak-anakmu.

Tuntutlah redha seorang IBU kerana redha IBU adalah redha Allah jua.

Janganlah menjadi anak durhaka seperti Al-Qamah sukar untuk mengucap 2 kalimah syahadah bila hendak mati.


Ketahuilah wahai anak-anak!...
Gugurnya setitis air mata seorang IBU ke bumi ini, maka murka Allah seluas langit dan bumi juga seisinya.




Redha dan keampunan IBU membawa ke syurga. Perolehilah redha dan restu IBU untuk selamat dunia dan akhiratmu wahai anak-anak.


Amin Ya Rabbal A'lamin

Mintalah kepadaKu nescaya Aku kabulkan


Maha Baiknya Allah terhadap hamba-hambaNya.

Allah offer diriNya supaya hamba-hambaNya mintalah kepadaNya apa sahaja pasti akan dikabulkanNya.

Allah Maha Pemurah lagi Maha Adil.Allah tempat hamba-hambaNya mengadu, Allah tempat kita bergantung, Allah tempat kita minta tolong, Allah tempat kita mohon segala hajat.Allah tempat kita bermanja .Bahkan Allah adalah tempat kita mencurahkan segala isi hati kita.Allah tidak akan sia-siakan harapan kita terhadapNya.


Allah tempat kita berhibur, tempat kita menyelesaikan segala masalah .Allah Maha Mendengar apa sahaja permohonan dan permintaan kita.Allah Maha Mendengar apa yang hamba-hambaNya mohon bantuanNya.


Jangan sesekali kita prajudis dengan Allah.Sekiranya permohonan kita tidak diterima ertinya tentu ada hijab dan dosa yang menghalang Allah terima doa dan hajat kita. Jangan berputus asa , bertaubat terus menerus dan mohon lagi dengan penuh rasa hamba, dengan penuh mengharap agar Allah angkat doa dan munajat kita.



Allah sangat tahu apa yang ada dalam hati kita.

Allah sangat faham hamba-hambaNya.
Jangan sesekali kita kata Allah zalim , Allah tidak adil kerana tidak tunaikan hajat-hajat dan kemahuan kita.
Allah Maha Mengetahui apa yang baik,
apa yang buruk terhadap hamba-hambaNya.

Allah Maha Baik walaupun kita nampak seolah-olah Allah tidak sayang kepada kita contohnya Allah uji kita dengan ujian kesakitan.


Allah beri kita sakit sebab Allah hendak gugurkan dosa-dosa kita di dunia supaya kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih dari dosa.




Allah mahu kita bersabar dengan ujian sakit supaya Allah boleh beri kita pahala sabar yang tahap tertinggi yakni bighairil hisab.


Maha Baiknya Allah, di ujinya kita tetapi diberi ganjaran yang sungguh hebat di akhirat yakni syurgaNya,itu pun sekiranya kita sabar dan bersangka baik dengan ujian dariNya.

Beruntungnya bagi hamba-hamba Allah yang faham akan kerja Allah dan peranan Allah ke atas dirinya selaku hamba kepada Allah.Jika kita kenal Allah dengan matahati pasti kita redha dengan apa sahaja yang Allah tentukan dan taqdirkan dalam hidup kita,
Kita tidak akan mengeluh dan resah gelisah di atas apa sahaja cubaan dan dugaan dari Allah terhadap kita .

Kita akan bersabar, bertenang sambil berdoa  dan bermunajat agar Allah anugerahkan kita kekuatan yang luar biasa dalam mengharungi liku-liku ujian atau mehnah dari Allah.
Inilah bukti Allah beri perhatian dan sayang kepada hamba ciptaanNya.Oleh itu selayaknya Allah dicintai dan diagungkan.

Amal jariah penebus dosa




Beramal jariahlah untuk kebahagiaan di alam sana. Doa anak yang soleh, ilmu yang manfaat disampaikan ,sedekah dan amal jariah yang dilaksanakan adalah saham akhirat yang Allah pandang dan redha.


Allah sangat sayang dan suka kepada hamba-hambaNya yang suka beramal jariah, bersedekah, mengeluarkan zakat, menginfaqkan hartanya di jalan Allah atau membantu asnaf zakat yang  8 golongan tersebut seperti membantu anak-anak yatim,fakir miskin,orang-orang yang berhutang piutang dan tiada kemampuan membayar hutang-hutangnya,orang yang menuntut ilmu di jalan Allah yakni ilmu yang bermanfaat bukan ilmu yang melalaikan,golongan muallaf,ibu tunggal,OKU,warga emas dan lain-lain yang patut dibantu. 
 

  

Amal jariah yang dihulurkan akan berpanjangan selagi apa yang kita infaqkan atau wakafkan itu digunakan atau diterima.Orang yang beramal jariah kuburnya cerah, luas serta mendapat rahmat Allah yang sangat hebat.Ganjaran pahalanya tidak terhitung.Allah sahajalah yang Maha Mengetahuinya.

Amal-amal jariahnya akan menampung beratkan timbangan Al-Mizan (neraca ) di akhirat kelak.Beramal jariahlah kerana dengan ini kita akan terhindar dari muflis di akhirat nanti.




Amal jariah satu amalan yang sangat mulia. Boleh meraih taqwa melalui amalan suka bersedekah, suka membantu orang susah, suka menghiburkan anak-anak yatim , fakir miskin dan mereka yang malang.


Hiburkan hati mereka yang malang nanti Allah akan hiburkan kita dunia dan akhirat. Tidak rugi kita menjadi pemurah, dermawan kerana Allah suka orang yang pemurah dan dermawan.
Rezeki berkat, hidup berkat dan mendapat kasih sayang Allah dan Baginda Rasulullah SAW.Baginda Rasul dan para sahabat pemurahnya mereka bagaikan angin kencang.


Harta, kekayaan duniawi, wang ringgit hanya di tangan tidak di hati mereka. Sebab itu mudah dibahagi-bahagi.Mereka tidak sesekali cinta dunia dan menggenggam dunia di hati akan tetapi dunia diagih-agihkan dan dibahagi-bahagikan.


Jika kita bersyukur dengan rezeki, Allah akan tambah lagi berganda-ganda dari sumber yang tidak diduga.Untuk membuktikan kita bersyukur dengan anugerah rezeki, beramal jariahlah walaupun sedikit.

Allah bukan nilai banyak sedikitnya amalan amal jariah kita akan tetapi Allah nilai seikhlas mana kita dalam memberi . Semoga kita termasuk ke dalam golongan hamba-hamba Allah yang pandai bersyukur dan pemurah .

Amin Ya Allah.

Rumahku syurgaku

Al jannatul 'ajilah (syurga yang disegerakan) adalah sangat mahal dalam hidup ini. 


Jika rumah tidak menjadi "rumahku syurgaku" bahkan menjadi "rumahku nerakaku" , maknanya tidak ada ketenangan yang sementara di dunia ini,di akhirat lagilah rugi.


Di dunia walaupun hidup hanya sementara waktu, akan tetapi ketenangan hidup, keceriaan hidup, kedamaian hidup sangat perlu dan mesti ditagih dan diusahakan. 


Kebahagiaan hidup yang sementara ini sangat mahal kerana ianya akan membuahkan hasil yang mahal juga di akhirat sana.


Jika di dunia hidup bagaikan dalam neraka sebelum neraka, jiwa resah gelisah, hidup tidak menentu arah, hilang fokus, hilang bahagia, hilang keamanan dan ketenangan jiwa, hilang keselesaan dan keceriaan maka apalah ertinya hidup.

Sepatutnya bagi setiap insan "rumahku syurgaku", barulah hidup yang berkat. Aljannatul 'ajilah Tuhan akan anugerahkan kepada hamba-hambaNya yang hatinya penuh dengan iman dan taqwa. 


Iman dan taqwa sahajalah yang boleh membawa manusia kebahagiaan yang sementara , sebelum menuju kebahagiaan yang kekal lagi abadi dalam syurga Allah.

Marilah kita menagih dari Allah Taala supaya keluarga kita adalah keluarga yang bahagia, aman damai dan mendapat anugerah Aljannatul A'jilah yakni syurga yang disegerakan.

Amin Ya Allah.

Sunday, 21 June 2015

Banyakkan niat di bulan Ramadhan


Banyakkan niat yang baik-baik dalam hidup ini terutama di bulan Ramadhan. Jika niat yang dihajatkan itu tidak tercapai, ganjaran di sisi Allah sudah dihitung. 



Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini banyakkan taubat dan banyakkan muhasabah diri. (bertafakkur), mengenangkan dosa-dosa kita yang lepas, samada sengaja atau tidak, samada besar atau kecil, semuanya Allah akan ampunkan jika kita bersungguh-sungguh mohon keampunan kepada yang Maha Esa.



Di bulan Ramadhan inilah doa makbul terutama 10 malam terakhir. Malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Di malam Lailatul Qadar tidak tertolak segala munajat, hajat, taubat, rintihan dan permintaan kepada Tuhan yang Maha Agung.


Banyakkan niat sepanjang Ramadhan kerana Allah sangat Maha Mendengar akan apa sahaja yang terlintas di hati kita sepanjang Ramadhan. 



Semoga dengan niat-niat yang murni, khalis (ikhlas) niat yang baik-baik, Allah akan perkenankan. Amin.
Sayangnya Allah kepada kita hamba-hambaNya, di anugerahkan kita sebulan Ramadhan sebagai bulan untuk kita membersihkan hati nurani kita dari dosa dan noda.




Bulan Ramadhan bagaikan bulan hamba Allah over haul hatinya dari sifat nifaq dan sifat-sifat hati yang jahat dan tercela selama ini kepada sifat-sifat hati yang murni dan bersih.



Setahun sekali Ramadhan menjelma dan muncul bagaikan satu rahmat yang sangat besar kepada setiap insan.


Di bulan yang penuh berkat ini manusia diminta berubah dari jahat kepada baik, dari rakus kepada pemurah. Dari panas baran kepada sabar. Dari berperangai iblis ditukar kepada berhati malaikat.
Semoga Ramadhan kali ini memberi keberkatan yang sebenar-benarnya kepada kita sebagai hamba Allah.Dengan keberkatan itu layaklah kita meraih sifat taqwa dalam diri kita buat selama-lamanya.
Amin Ya Allah.