Friday, 25 July 2014

Ramadhan jangan pergi...


Wahai Ramadhan!... Beberapa detik lagi Ramadhan akan pergi Meninggalkan kita semua dalam kenangan yang penuh makna.


Ramadhan yang penuh berkat akan hilang dan akan muncul kembali pada tahun hadapan. Lamanya untuk bertemu kmbali. Apakah sempat atau tidak untuk bertemu Ramadhan lagi?.




Ya Allah !... Sayu dan pilunya hati ini. Sedihnya perasaan ini, Untuk berpisah dengan mu wahai Ramadhan. Bulan mu banyak memberi keinsafan kepada seluruh umat Islam yang direzekikan Mendapat hidayah dan pimpinan hati dari Allah.





Ramadhan pergi Syawal pula menjelma. Syawal adalah bulan kemenangan bagi orang-orang yang bertaqwa sepanjang Ramadhan.
Syawal bulan kemerdekaan jiwa bagi mereka yang bersungguh-sungguh berpuasa sepanjang Ramadhan. Syawal bulan kegembiraan bagi mereka yang berhempas pulas bermujahadah menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadhan.



Syawal bulan umat Islam yang berjaya dalam puasanya untuk menyambut hari raya. Syawal bulan bermaaf-maafan sesama insan. Segala sengketa mohon diampuni sepanjang Syawal tiba.



Syawal bulan semua umat Islam berkasih sayang , bulan umat Islam buang yang keroh ambil yang jernih . Bulan Syawal bulan semua insan menjamu juadah berhari raya, bulan fakir miskin kaya sama sahaja bergembira penuh riang ria.


Syawal bulan hiburan bagi semua insan lebih-lebih lagi mereka yang menjiwai puasa dengan puasa hati. Maka layaklah mereka berhari raya dengan hati yang penuh ceria dan bahagia.



Begitulah Maha Baiknya Allah, diperintahkan hambaNya berpuasa selepas itu diberinya hiburan seisi keluarga dengan adanya hari raya. Maha Adilnya Allah terhadap hamba-hambaNya . Terima kasih Tuhan di atas segala kebaikanMu itu.


Duit ibarat ular yang membelit sangat berbisa

 

 Ada orang kata duit adalah segala-galanya.Betul ke duit adalah segala-galanya. Kalau ada duit tetapi tiada iman dalam hati boleh bahagia ke?.

Kalau ada duit tiada Tuhan dalam hati boleh tenang ke? Kalau ada duit tiada Nabi dalam hati boleh aman ke hidup kita?.
Kalau ada duit akan tetapi ramai musuh , apakah duit segala-galanya? Kalau ada duit hilang pancaindera sebab kemalangan atau apa-apa musibah, adakah duit masih segala-galanya?



Kalau ada duit anak isteri buat perangai, buat ragam, buat kerenah, rumah tangga kucar kacir, tiada kebahagiaan, keceriaan , kerukunan , apakah duit segala-galanya?
Kalau ada duit banyak, suami main kayu 3 , ada perempuan simpanan , apakah duit masih segala-galanya?.
Kenapa orang-orang kaya, jutawan, ternama, glamour, ramai peminat seluruh dunia, akan tetapi hidupnya murung, tidak ceria bahkan ada yang sakit jiwa, mungkin ada yang bunuh diri.Adakah duit segala-galanya?.



Sebenarnya duit bukan segala-galanya. Para nabi para rasul, para muqarrabin, para muttaqin, para solafussoleh, para auliyaullah, dan para mukmin sebenarnya cukup dengan Allah dalam hidup mereka.
Duit hanya sekadar keperluan hidup sampingan, yang penting Allah dan Rasulullah dalam hati. Bila ada Allah dan Rasulullah dalam hati, ketenangan jiwa lebih dari segala-galanya,bukan duit segala-galanya. Ketenangan jiwa tidak boleh dibeli oleh duit walaupun berjuta, berbillion banyaknya.



Hati yang tenang adalah segala-galanya walaupun hidup ala kadar, tidak kaya tidak terlalu miskin. Tanpa duit yang banyak kalau ada Allah dan Rasulullah SAW dalam hati, hidup akan habagia, tenang, aman damai dan ceria.


Duit bagaikan ular yang berbisa dan akan mematuk siapa sahaja yang gilakan duit tanpa meletakkan Allah dalam hati.Duit ibarat ular yang bahaya akan membelit sesiapa sahaja yang meletakkan duit segala-galanya dalam hidupnya.



Duit tidak bersekolah tetapi duit sangat bijak dan licik menipu dan menggelicik orang cerdik pandai yang yang ada degree berjela-jela samada degree dalam negeri atau pun luar negara. Duit lagi bijak dari orang yang bijak.Duit lagi pandai dari para ilmuan yang bijak pandai.


Duit mampu memporak perandakan sesama manusia. Ibu bapa dengan anak-anak pun boleh bertelagah pasal duit. Suami isteri boleh bertengkar pasal duit. Sahabat handai , saudara mara, jiran setaman atau sekampung boleh saman menyaman pasal duit, adek beradek boleh bergaduh, bertumbuk pasal duit lebih-lebih lagi pasal harta pusaka dan wasiat.


Bahkan kerana duit syarikat boleh gongcang, boleh muflis kerana berlakunya pecah amanah dan ketidak jujuran rakan kongsi, staf-staf atau team sepejabat.


Duit punya hal, kawan baik pun boleh menuduh sesama sendiri, boleh berlaku fitnah memfitnah sesama umat Islam.memang benarlah duit ini membelit sesiapa sahaja .


Kerana duit orang boleh berbunuh-bunuhan sesama sendiri.Kawan rapat pun boleh terzalimi kerana duit.Duit boleh membawa manusia lupa diri, lupa Tuhan, lupa keturunan dan darah daging. Duit boleh menyebabkan seseorang masuk penjara, terlibat dengan jenayah, rompakan dan lain-lain. Ada yang menggunakan ilmu hitam (pukau) dan ada yang terpaksa berdepan dengan tali gantung.



Semua duit punya pasal , semuanya tersasar dari menuju jalan yang diredhai. Duit boleh menyebabkan orang sanggup jual dadah, sanggup menjadi pengedar ganja, heroin, dadah dan seumpamanya.
Lebih dahsyat lagi kerana duit ada yang rela menjual maruah diri. Adoy duit...duit...duit. Memang benarlah duit ibarat ular yang membelit dan mematuk siapa sahaja.


Oleh itu untuk selamatkan diri dari bahaya duit , letakkan cinta akhirat dalam hati bukan cinta dunia. Letakkan cinta alam kubur dan dan alam barzakh lebih dari cintakan harta yang tidak boleh menyelamatkan kita dari kemurkaan Allah.



Banyak duit boleh dalam Islam akan tetapi infaqkanlah ke jalan yang Allah redhai.Bersedekah , beramal jariah dan keluarkanlah zakat harta dan zakat fitrah untuk diri dan keluarga.
Mohonlah kepada Allah agar kita semua terselamat dari tipuan dunia yang menipu daya ini.Semoga kita mati dalam iman dan Islam.
Amin Ya Allah.

Monday, 21 July 2014

Kekuasaan Allah mengatasi segala kuasa




Tiada kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa Allah.
Kuasa Allah mengatasi segala kuasa yang ada dalam dunia ini.


Walaupun manusia cuba untuk menandingi kekuasaan Allah namun kuasa Allah lebih hebat dan tiada tandingan bagiNya.
Sebagai bukti kekuasaan Allah, ulat dalam batu pun boleh hidup.


Sebagai buktinya lagi, apa yang berlaku di Gaza , seorang kanak-kanak tertimbus di dalam tanah yang penuh dengan batu bata kerana rumahnya dibom oleh rejim zionis Israel, akhirnya dapat diselamatkan.


Sepatutnya dari segi hukum adatnya kanak-kanak tersebut boleh mati tertimbus atau boleh hancur tubuh badannya kerana hentakan batu bata dan timbunan tanah , atau paling tidak tentu sikecil itu cedera yang parah, atau patah retah tulang-belulangnya atau luka di sana sini anggota tubuh badannya.



Akan tetapi Allah ingin menunjukkan kekuasaanNya agar semua hamba-hambaNya mengambil pengajaran dan iktibar serta tunduk kepadaNya.
Allah yang Maha hebat telah melindungi sikecil itu dari segala mala petaka tersebut.
Sikecil itu tidak mati bahkan tidak tercedera walaupun sedikit.



Inilah keajaiban yang Allah perlihatkan di bumi Palestin yang sedang menanggung derita, sengsara, kesusahan yang teramat sangat atas peristiwa malang dan ujian berat yang sedang menimpa mereka.Kita juga turut merasa kepedihan dan kedukaan mereka yang sedang dalam penderitaan ini.




Syahidlah bagi mereka yang sudah pergi kembali menemui Tuhannya. Memang sedih, sayu, pilu menatapi peristiwa pahit ini namun apakan daya, kita tiada daya upaya.


Hanya yang mampu kita lakukan terus berdoa, munajat, rintihan dan Al Fatehah buat saudara-saudara se Islam di bumi Gaza.
Setiap apa yang terjadi adalah kuasa Allah.
Tanpa izinNya tidak akan berlaku. Apa yang terjadi adalah tanda kebesaran Allah yang Maha Besar.
Allah mahu hamba-hambaNya syahid seramai-ramainya,untuk kembali kepangkuanNya.
Begitulah ketentuan qada' dan qadar Allah terhadap hamba-hambaNya.


Allah Maha berkuasa dalam apa jua hal dan keadaan. Di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan ini , Allah telah datangkan ujian kepada saudara-saudara seIslam kita di Gaza dengan ujian yang sangat hebat.

Berbahagialah sekalian roh-roh yang menjadi mangsa korban dan terkorban di sana kerana mereka akan Tuhan himpunkan di alam akhirat nun di sana dalam himpunan para syuhada dan orang-orang yang mendapat keredhaan Allah.



Musuh-musuh Allah tetap akan Allah adili di akhirat kelak. Walaupun di atas muka bumi seolah-olah mereka menguasai keadaan dan seolah-olah mereka kuat dan berkuasa.
Tidak ada kuasa yang lebih hebat berbanding kuasa yang ada pada manusia.

Semuanya Allah punya.Sampai masa dan ketikanya Allah akan bertindak. Oleh itu janganlah kita mendabik dada seolah-olah kita kuat, kita berkuasa, kita hebat, kita mampu, dan sebagainya.
Allah boleh hancurkan , Allah boleh binasakan.
Allah sangat mampu bubarkan musuh-musuhNya dalam sekelip mata atau dalam satu lahzah jika Allah mahu.

Jika Allah mahu maka sesaat pun tidak ditangguhnya, sesaat pun tidak diawalkan atau sesaat pun tidak dilewatkan. Jika Allah berkehendak Kun Fayakun ,maka jadi dan terjadilah.
Semoga Allah menunjukkan kekuasaanNya yang Maha Hebat tidak lama lagi. Semoga Allah selamatkan, lindungi hamba-hambaNya yang bertaqwa.

Semoga Allah gongcangkan, hancurkan,bubarkan,tunggang terbalikkan pasukan musuh-musuh Allah di dunia lagi, sebelum mereka mendapat pembalasan yang maha dahsyat dan azab di akhirat kelak.

Allahlah sebaik-baik pemberi balasan dan pengadilan yang seadil-adilnya.Allah tidak akan biarkan hamba-hambaNya dizalimi buat selama-lamanya.Tentu ada pembelaan dari Allah yang Maha Adil itu.

Semoga semuanya selamat dan menyelamatkan.
Dengan kuasa Allah yang Maha Berkuasa.
Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi munajat dan doa agar umat Islam di dunia ini di bela dan terbela dunia dan akhirat.

Amin Ya Allah.

Sunday, 20 July 2014

Banyakkan niat di bulan Ramadhan


Banyakkan niat yang baik-baik dalam hidup ini terutama di bulan Ramadhan. Jika niat yang dihajatkan itu tidak tercapai, ganjaran di sisi Allah sudah dihitung. 



Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini banyakkan taubat dan banyakkan muhasabah diri. (bertafakkur), mengenangkan dosa-dosa kita yang lepas, samada sengaja atau tidak, samada besar atau kecil, semuanya Allah akan ampunkan jika kita bersungguh-sungguh mohon keampunan kepada yang Maha Esa.



Di bulan Ramadhan inilah doa makbul terutama 10 malam terakhir. Malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Di malam Lailatul Qadar tidak tertolak segala munajat, hajat, taubat, rintihan dan permintaan kepada Tuhan yang Maha Agung.


Banyakkan niat sepanjang Ramadhan kerana Allah sangat Maha Mendengar akan apa sahaja yang terlintas di hati kita sepanjang Ramadhan. 



Semoga dengan niat-niat yang murni, khalis (ikhlas) niat yang baik-baik, Allah akan perkenankan. Amin.
Sayangnya Allah kepada kita hamba-hambaNya, di anugerahkan kita sebulan Ramadhan sebagai bulan untuk kita membersihkan hati nurani kita dari dosa dan noda.




Bulan Ramadhan bagaikan bulan hamba Allah over haul hatinya dari sifat nifaq dan sifat-sifat hati yang jahat dan tercela selama ini kepada sifat-sifat hati yang murni dan bersih.



Setahun sekali Ramadhan menjelma dan muncul bagaikan satu rahmat yang sangat besar kepada setiap insan.


Di bulan yang penuh berkat ini manusia diminta berubah dari jahat kepada baik, dari rakus kepada pemurah. Dari panas baran kepada sabar. Dari berperangai iblis ditukar kepada berhati malaikat.
Semoga Ramadhan kali ini memberi keberkatan yang sebenar-benarnya kepada kita sebagai hamba Allah.Dengan keberkatan itu layaklah kita meraih sifat taqwa dalam diri kita buat selama-lamanya.
Amin Ya Allah.


Bacalah Al Quran di bulan Ramadhan




Kalamullah (Al-Quran), Tuhan turunkan sebagai panduan kepada umat Nabi Muhammad SAW.Nabi Muhammad Nabi yang terakhir dan Nabi penutup bagi sekalian para Nabi dan Rasul.




Maka mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ialah Al-Quranul Karim. Allah wahyukan kepada Baginda Rasulullah SAW Kalamullah sebagai satu pengiktirafan Allah terhadap Baginda Rasul adalah Nabi akhir zaman yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan yang sangat hebat dengan adanya Al-Quran sebagai khazanah untuk Baginda Rasul kepada Umatnya.


Melalui Kitabullah inilah Baginda menyeru umatnya agar jadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup sepanjang zaman.Sesiapa yang merujuk Al-Quran dalam hidupnya, maka hidupnya akan terpimpin dan dalam rahmat Allah yang berpanjangan.

Al-Quran bukan diminta di simpan di rumah, di dalam almari, di rak-rak buku, di atas meja atau di mana sahaja akan tetapi ianya hendaklah dibaca, dihayati, ditadaruskan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia dari seribu bulan ini.


Besarnya pahala, ganjaran dan keberkatan membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan puasa ini.Sesiapa yang menjadikan Al-Quran sebagai basahan bibirnya, teman hidupnya maka di dalam kubur nanti Al-Quran akan datang kepadanya, menemaninya dan meneranginya di dalam kubur.

Cahaya Al-Quran akan mencahayakan kuburnya.Kubur tidak gelap lagi, bahkan kubur akan terang benderang dengan cahaya Al-Quran. Tidak mahukah kubur kita bercahaya dengan cahaya Al-quranul Karim?.


Orang yang rajin membaca Al-Quran bahkan menghafal Al-Quran, sesungguhnya jasadnya tidak hancur.Allah pelihara sepertimana Allah pelihara Al-Quran. Bertuahnya, beruntungnya sesiapa diberi hidayah sepanjang Ramadhan ini ghairah dan kusyuk bertadarus, mengaji atau membaca Al-Quran.

Semuga di akhirat nanti Al-Quran akan menjadi saksi di hadapan Allah bahawa kita termasuk golongan orang-orang yang memuliakan Al-Quran dan mempraktikkan apa yang terkandung di dalamnya.

Dengan membaca Al-Quran hati akan tenang . 
Hati akan terhubung dengan Allah Taala.
Hati akan lunak, hati akan mendapat pimpinan dari Allah Taala.Hidup penuh dengan keberkatan dunia dan akhirat.

Friday, 18 July 2014

Takziah buat penumpang MH 17 serta kaum keluarga yang terlibat





Satu lagi peristiwa yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia terutama kaum keluarga yang terlibat dalam terhempasnya pesawat malang MH 17 pada tanggal 17 julai 2014.

Sejarah hitam yang penuh tragis ini akan dikenang seumur hidup oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi kaum keluarga dan sahabat handai para penumpang dan kru anak-anak kapal MH 17.

Kepada Allah kita datang, kepada Allah jualah tempat kita kembali. Al Fatehah buat semua yang syahid (mudah-mudahan), semoga Allah tempatkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang muflihun dan diredhai Allah.

Memang tidak dapat dinafikan, peristiwa ini sangat pilu, sangat merobek-robekkan hati nurani sesiapa sahaja yang menghayati peristiwa hitam ini.Semua yang berlaku tentu besar hikmah dan pengajarannya.

 Gambar-gambar nahas MH17







Pada yang telah pergi berita busyra buat mereka kerana mereka mendapat syahid di sisi Tuhannya (mudah-mudahan).Mereka yang pergi akan terus pergi dan tidak akan kembali lagi. Namun bagi kita yang masih diizinkan Allah menghirup udara segar nikmat Allah ini hendaklah terus cekal, tabah dan kuatkan jiwa, menjalani tugas-tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah seperti sediakala.

Allah sangat tahu kenapa dan mengapa ujian seberat ini terjadi kepada pesawat MH17. Semuanya sudah ketentuan taqdir Ilahi. Tiada siapa pun yang mampu menghalangnya. Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui apakah kebaikan yang terkandung di dalam ilmu Allah atas peristiwa ini.

Pada yang masih bernafas, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadratNya (Allah), kerana kita masih dipanjangkan lagi usia walaupun orang tersayang sudah dipanggil pulang oleh Tuhan , yakniTuan empunya alam ini.

Marilah kita surrender dengan Allah yang Maha Pencipta. Surrender dengan ertikata sembahlah Allah dengan sepenuh hati nurani. Serahkan hidup dan mati kita kepadaNya. Serahkan segala urusan hidup kita kepada Allah yang Maha Mentadbir. Berlaku adillah kepada Allah dalam setiap tindak kita.

Marilah kita agungkan Allah seagung-agungnya. Marilah kita tinggikan Allah dengan setinggi-tingginya yakni dengan mendaulatkan kalimah toyyibah di muka bumi ini. Tinggalkan maksiat yang Allah murka dan benci. Tinggalkan kerja-kerja yang Allah laknat , marilah kita dokong agama Allah dengan membesarkan Allah melalui shalat, melalui menutup aurat, hindarilah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram.

Hindarilah dari perkara-perkara yang melalaikan. Marilah kita bersatu hati dan berkasih sayang sesama umat Islam walaupun bukan darah daging kita. Bukankah kita bersaudara? Marilah kita infaqkan harta kepada mereka yang memerlukan bantuan dan simpati dari kita terutama golongan anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas,OKU dan mereka yang malang. 

Ambillah kesempatan bulan Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan Ramadhan yang penuh berkat akan meninggalkan kita.Tahun hadapan belum tentu kita bertemu Ramadhan lagi kerana umur kita di tangan Allah. Mati bila-bila masa sahaja akan menyapa kita. Lebih-lebih lagi 10 malam terakhir yang ada di dalamnya Lailatul Qadar.

Marilah kita redha dengan apa sahaja tragedi dan ketentuan Allah yang berlaku walaupun memang amat pahit untuk ditelan.Namun ini semua hak Allah. Kita selaku hamba Allah, pasrah dan bertawakkallah kepadaNya.

Semoga apa yang terjadi sangat menginsafkan kita yang masih leka dan alpa ini.Tuhan tidak pernah lakukan segala sesuatu itu sia-sia. Maha Suci Tuhan dari melakukan sesuatu itu sia-sia.Semuanya ada hikmah yang tersurat atau tersirat disebalik kejadian. Ambillah positif atas nama Tuhan dan RasulNya.

Tuhan itu tidak zalim terhadap hamba ciptaannya. Inilah yang dikatakan tauhid kepada Allah.Taqwa kepada Allah dengan menyerah hati dan diri untuk Allah catur hidup kita.Allah itu Maha Baik kepada kita selaku hamba-hambaNya.

Allah korbankan pesawat MH 370 dan MH 17 untuk memberi iman ke dalam hati-hati kita yang masih hidup. Terimalah offer dari Allah ini. Sahutlah... Sambutlah... Tawaran dari Allah ini, semoga kita semua kembali kepangkuan Allah dalam membawa hati yang qalbun salim.
Amin Ya Allah.

Tuesday, 15 July 2014

(siri 2) Puasa hakiki takutkan Allah dan rindukan Rasulullah SAW



Betapa mulianya Nabi kita sehinggakan Allah kepilkan nama Baginda dalam syahadah.Tidak sah Islam dan iman seseorang jika mengucap dua kalimah syahadah tanpa menyebut nama Nabi besar junjungan Muhammad SAW.


Sebesar ini Allah angkat darjat Nabi kita yang mulia itu.Seistemewa ini Allah letakkan Nabi kita , tidakkah kita rasa bangga adanya seorang Nabi yang sehebat ini bersama kita selaku umatnya?.

Malangnya jika kita tidak rasa sayang, rindu, kasih kepada Nabi Muhammad SAW yang digelar habibullah (kekasih Allah) itu.
Dengan mengasihi, merindui, menyintai Nabi Habibullah ini kita juga akan mendapat sebesar-besar berkat, nikmat yakni akan memperolehi syafaat kubra dari Nabi kita.



Tidakkah kita teringin memperolehi syafaat kubra dari seorang Nabi yang Allah sangat sayang kepadanya itu?.
Dengan memperolehi syafaat kubra dari Nabi Muhammad SAW bererti jalan keselamatan untuk kita dunia dan akhirat.

Bodohlah jika kita sebagai umat Nabi Muhammad akan tetapi tidak mengharapkan keselamatan dari Baginda Rasul yang sangat mulia itu.

Amat ruginya bagi umat Nabi Muhammad di akhir zaman jika kita tidak mensyukuri nikmat punyai seorang Nabi yang sangat mulia dan penuh keberkatan ini.
Seluruh para nabi dan rasul pun amat mengharap syafaat kubra dari Nabi Junjungan besar Rasulullah SAW di akhirat kelak.
Betapa hebatnya Nabi akhir zaman ini. 



Melalui kebesaran dan kemulian Baginda Rasul inilah terciptanya alam ini dengan Nur Muhammad.Besarnya jasa baginda kepada kita selaku umatnya. Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. Sesiapa yang menyintai dan merindui pesuruh Allah ini, maka dia juga akan dikasihi Allah.

Bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan daripada Allah ini, maka kita hendaklah sungguh-sungguh ambil keberkatannya dan dapat hati yang takutkan Allah.
Ini suatu tawaran daripada Allah. Kita kena ambil peluang tawaran ini dan kalau kita tidak ambil peduli akan tawaran istemewa ini, maka rugilah kita serugi-rugi makhluk di alam fana ini..

Kita kena taubat sungguh-sungguh dibulan Ramadhan ini.
Semoga dengan taubat nasuha ini, maka nanti Allah akan hadiahkan kita hati hamba sebenar-benar hamba dan hati yang takutkan Allah rindukan Rasulullah SAW.

Hanya Allah sahaja yang mampu menganugerahkan hati taqwa ini kepada hamba-hambaNya.. Menangislah bersungguh-sungguh semoga Allah akan ampunkan kita. Bangunlah di tengah malam hari dan bercakap-cakaplah dengan Raja segala Raja ini.

Tagihlah sebesar-besar keberkatan dan keampunan sepanjang sebulan Ramadhan yang berkat ini. Kita mesti ambil bulan Ramadhan ini untuk dapat rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.
Masalah kita ini sepatutnya membuatkan kita menangis dan tidak lena tidur malam mengenangkan betapa menggunungnya dosa-dosa kita kepada Allah dan RasulNya.

Mesti ada dosa yang menjadi hijab kiranya sepanjang Ramadhan ini kita tidak dapat merasakan secebis rasa takut kepada Allah yang Maha Perkasa itu.

Kita mesti taubat sungguh-sungguh jika hal ini berlaku .
Tidakkah kita takut akan kekuasaan Allah dan kehebatan Allah boleh lakukan apa sahaja terhadap kita yang amat kerdil ini?.
Oleh itu marilah kita memanggil-manggil Nabi kita dengan berselawat ke atasnya. 
Semoga berkat Nabi Muhammad SAW, kita akan dianugerahkan hati hamba sehamba-hambanya.

Amin Ya Allah.

(siri 1) Puasa hakiki takutkan Allah dan rindukan Rasulullah SAW



Untuk memperolehi anugerah Allah ke dalam hati kita supaya dapat perasaan takutkan Allah dan rindukan Baginda Rasulullah,, kita mestilah berhempas pulas, bersungguh-sungguh menagih janji dari Tuhan itu. 

Sepatutnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, bulan yang penuh keberkatan dan pengampunan Allah ini, kita manfaatkan sungguh-sungguh dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah. Berilah banyak masa untuk Allah dan Rasulullah SAW secukup-cukupnya.

Memperbanyakkan wirid zikir , bacaan Al Quran diganda-gandakan dari sebelumnya. Membaca ayat-ayat suci Al Quran (Kalamullah) ini dapat menambahkan taqwa kita kepada Allah Taala. Hati akan tenang ,lunak dan dimurnikan, disucikan, ditingkatkan dari tahap ke tahap yang Allah kehendaki..


Firman Allah Taala maksudnya,
" wahai orang-orang yang beriman maka berpuasa lah kamu seperti orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu akan menjadi orang yang bertaqwa".

Menurut ayat di atas dengan puasa yang dihayati lahir dan batinnya, kita diberi jaminan oleh Allah dapat menjadi orang yang bertaqwa.
Taqwa yang dimaksudkan di sini ialah hati yang dapat merasakan Tuhan Maha tinggi yakni rasa takutkan Allah dan rindukan Rasulullah SAW.



Hati yang rasa sentiasa diawasi oleh Allah.
Hati yang takut untuk durhaka kepada Allah.
Hati yang takut melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.
Hati yang takut jika mati dalam suk'ul khaatimah.
Hati yang takut Allah murka kepadanya.

Hati yang sentiasa merindui baginda Nabi juga adalah Taqwa. Kenapa perlu kita rindukan Nabi?.
Nabi kita sangat sayang kepada kita.
Sebelum Nabi kita wafat, baginda menyebut ummati...
ummati... ummati...
Maknanya umatku... umatku... umatku....
Membuktikan Nabi sangat sayang kepada umatnya yakni kita.

Nabi merayu kepada Allah supaya sakit sakaratul maut sekalian umatnya biarlah Nabi tanggung,
akan tetapi Allah tidak dapat perkenankan hajat, hasrat dan permintaan Nabi in, kerana sakit waktu sakaratul maut adalah habuan setiap hamba,
bergantung kepada amalan baik buruk yang dilakukan.


Semua hamba Allah mesti merasa sakit sakaratul maut walaupun mereka beriman , tetap akan merasa sakitnya waktu sakaratul maut, cuma orang yang beriman Allah perintahkan malaikat maut mencabut nyawanya sehalus cabutan dengan penuh lemah lembut dan tertib.

Namun itu pun tetap akan merasa sakitnya sakaratul maut bagaikan tetakan 300 ratus mata pedang yang terkena kepada tubuh badan si hamba.

Cuba bayangkanlah jika malaikat maut mencabut nyawa si hamba dengan menyentaknya kerana banyaknya dosa dan kedurhakaan si hamba kepada Allah.

Aduh!.... azabnya.... 
Aduh!... sakitnya... 
Aduh!... pedihnya... 

Atas dasar itulah ada yang mati mata terbeliak dan macam-macam keadaan yang menyayat hati. 

Maka kita pun sepatutnya bertambah-tambah rindu dengan Nabi dan bercucuran air mata merindui akan Nabi kita yang banyak berkorban untuk umatnya. 

Rasulullah SAW kalau shalat sampai bengkak-bengkak kaki sebab merasakan dirinya adalah hamba kepada Tuhan.



Nabi rasa sangat bersyukur kepada Tuhan,walaupun baginda seorang Nabi namun tetap melakukan ibadah sehingga bengkak-bengkak kaki dan pecah-pecah lututnya kerana banyak bersujud dan sembahyang kepada Tuhannya . Hebatnya rasa kehambaan baginda.

Tidakkah kita rasa bangga bernabikan baginda Rasul?. Yang sangatlah taat kepada Allah dan yang sangatlah sayang dan kasih kepada umatnya?

Bersambung........